KUALA TERENGGANU, 5 Mei – Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu Kali Ke-44 hari ini menyaksikan seramai 758 pelajar cemerlang diraikan atas pencapaian mereka dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah diri.
Majlis itu telah dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar serta turut menyampaikan anugerah kepada para penerima.
Majlis ini mencerminkan komitmen Yayasan Terengganu dalam mengangkat keunggulan pendidikan serta sebagai dorongan kepada anak negeri untuk terus berjaya dalam pelbagai bidang.
Daripada jumlah keseluruhan, seramai empat (4) orang menerima Anugerah Pingat Emas, tujuh (7) orang menerima Anugerah Sarjana, dua (2) orang menerima Anugerah Khas, dua (2) orang penerima Anugerah Terbaik STPM dan STAM, serta 743 orang pelajar menerima Hadiah Kecemerlangan Peperiksaan SPM, STPM dan STAM, dengan jumlah insentif keseluruhan mencecah RM416,800.
Majlis ini turut menekankan kepentingan pendidikan berkualiti sebagai tunjang pembangunan insan holistik dan kesejahteraan jangka panjang negeri Terengganu. Dalam ucapannya, pihak Yayasan turut menasihati pelajar agar menguasai teknologi dan kemahiran insaniah sebagai persediaan menghadapi cabaran dunia kerjaya.
Penghargaan juga turut diberikan kepada ibu bapa atas pengorbanan dan sokongan padu dalam memastikan kejayaan anak-anak dalam pendidikan.
Views: 82