KUALA TERENGGANU, 04 Ogos 2024 – Kunjungan hormat Konsul Kehormat Malaysia di Cape Town, YBrs. Tuan Haji Hafiz Mahmood Khatib, ke Yayasan Terengganu hari ini membawa sinar baru dalam hubungan pendidikan antara Malaysia khususnya Negeri Terengganu dan Afrika Selatan. Delegasi yang diketuai oleh YBrs. Tuan Haji Hafiz disambut mesra oleh Pengarah Yayasan Terengganu, YBhg. Dato’ Haji Mohd Azmi bin Mohamad Daham serta pegawai-pegawai kanan Yayasan Terengganu.
Perbincangan utama dalam sesi kunjungan hormat ini termasuk penerokaan peluang kerjasama baharu dalam sektor pendidikan, khususnya mengenai penghantaran pelajar anak negeri Terengganu ke universiti-universiti terkemuka di Cape Town. Inisiatif ini bertujuan untuk menyediakan lebih banyak peluang pendidikan tinggi kepada pelajar Malaysia, serta memperkukuh hubungan akademik antara kedua-dua kawasan.
Dato’ Haji Mohd Azmi menyambut baik cadangan tersebut dan menekankan kepentingan memperluas jaringan pendidikan global bagi memberi manfaat kepada pelajar Terengganu. Kunjungan ini diharapkan akan membuahkan hasil yang positif dan membuka lebih banyak peluang bagi kerjasama antara Negeri Terengganu dan Cape Town.
Views: 28