KUALA TERENGGANU, 28 Mei – Yayasan Terengganu hari ini telah memeterai satu Memorandum Perjanjian (Moa) antara Yayasan Terengganu dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) dalam satu majlis yang diadakan di Wisma Darul Iman.
Jalinan kerjasama antara Yayasan Terengganu dan UniSHAMS adalah salah satu usaha bagi membuka ruang pengajian kepada anak Terengganu khususnya dalam bidang perubatan iaitu Program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS).
Bagi mewakili pihak Yayasan Terengganu, MoA tersebut telah ditandatangani oleh YB. Dato’ Haji Satiful Bahari bin Mamat, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi & Pembangunan Insan dan YBhg. Dato’ Haji Mohd Azmi bin Mohamad Daham, Pengarah Yayasan Terengganu. Manakala bagi pihak UniSHAMS pula, MoA tersebut telah ditandatangani oleh YBrs. Profesor Madya Muhammad Nasri bin Md Hussain, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa dan YBrs. Profesor Madya Harif Fadzilah bin Che Hashim, Dekan Kulliyyah Perubatan & Sains Kesihatan.
Turut menyaksikan MoA tersebut ialah YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Menteri Besar Terengganu dan YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Noor, Menteri Besar Kedah.
Antara yang hadir adalah Ahli-ahli Lembaga Pemegang-Pemegang Amanah Yayasan Terengganu, Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, Pegawai-pegawai Tadbir Negeri Terengganu, Delegasi SUK Negeri Kedah, Pegawai-pegawai Yayasan Terengganu dan UniSHAMS.
Dengan pemeteraian kerjasama dua hala antara Yayasan Terengganu dan UniSHAMS adalah diharap akan memacu pendidikan ke arah yang lebih cemerlang di masa hadapan seiring dengan keperluan dunia semasa.
#membangunilaimerintiskejayaan
#TerengganuMajuBerkatSejahtera
Views: 8