BESUT, 13 Mac – Yayasan Terengganu melalui Bahagian Pengurusan Imtiaz telah melancarkan Program Khalifah Imtiaz 2.0, sebuah inisiatif yang menggabungkan kecemerlangan akademik dengan kepimpinan unggul dan jati diri yang kukuh berlandaskan ajaran Islam. Program ini bertujuan melahirkan generasi Ulul Albab yang bukan sahaja cemerlang di medan ilmu, tetapi juga berkemampuan untuk menjadi pembela masyarakat, negara, dan agama.
Majlis yang penuh bermakna ini telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Pengarah Yayasan Terengganu, Encik Ahmad Farhan bin Abdul Wahab. Dalam ucapannya yang penuh bersemangat, beliau berkata:
“Hari ini, kita membuka lembaran baru dalam mencipta pemimpin-pemimpin masa depan yang bakal menggoncang dunia dengan kebijaksanaan, keteguhan prinsip, dan kepimpinan yang berpaksikan nilai-nilai Islam. Program Khalifah Imtiaz 2.0 adalah usaha gigih untuk melahirkan insan-insan yang bukan sahaja cemerlang di dunia, tetapi juga mempunyai visi yang jauh ke hadapan, mampu mengharungi segala cabaran dan membawa perubahan positif kepada masyarakat serta negara.”
Turut hadir dalam pelancaran ini adalah Ketua Penolong Pengarah (Pengurusan Imtiaz), Encik Mohd Nazri bin Muda, bersama pengetua-pengetua, pegawai-pegawai pengurusan Imtiaz dan guru-guru pembimbing dari seluruh Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu.
Dengan pelaksanaan program ini, diharapkan para pelajar akan menjadi tunjang kepada perubahan global dan menjulang tinggi martabat bangsa serta agama, dengan semangat kepimpinan yang luar biasa dan integriti yang tidak tergugat.
Views: 6