SERI ISKANDAR, 20 Feb – Sebagai sebahagian daripada inisiatif dalam memupuk minat dan memberi pendedahan kepada pelajar dalam bidang STEM, Yayasan Terengganu telah mengadakan program “Energising Futures at Universiti Teknologi Petronas” (UTP) yang melibatkan pelajar serta guru-guru dari Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu.
Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam di kampus UTP, Perak ini bertujuan memberikan pengalaman langsung kepada peserta mengenai dunia akademik dan kerjaya dalam bidang teknologi dan kejuruteraan. Sepanjang program ini, peserta dibawa melawat pelbagai kemudahan di sekitar kampus UTP termasuk makmal-makmal yang canggih dan pusat penyelidikan yang menjadi tulang belakang kepada pengembangan ilmu di universiti tersebut.
Selain itu, peserta juga diberikan peluang untuk menyaksikan demostrasi STEM yang menarik, sekaligus memberi gambaran yang lebih jelas tentang aplikasi ilmu tersebut dalam dunia sebenar. Salah satu acara utama program ini adalah slot perkongsian yang diadakan bersama pelajar UTP dan alumni Imtiaz, yang memberikan pandangan berharga mengenai pengalaman mereka dalam bidang akademik serta kerjaya selepas menamatkan pengajian.
Menurut, Yang Berusaha Pengarah Yayasan Terengganu, Encik Ahmad Farhan bin Abdul Wahab, ketika ucapannya di dalam Majlis Penutupan Program ‘Energising Futures’, program ini merupakan salah satu usaha berterusan untuk menginspirasikan pelajar agar mereka dapat mengejar cita-cita dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM). “Kami berharap dengan pendedahan ini, para pelajar dapat melihat sendiri peluang yang tersedia di UTP serta menyedari potensi yang mereka miliki untuk berjaya dalam bidang teknologi dan kejuruteraan,” tambahnya.
Program ini mendapat sambutan yang positif daripada peserta, terutama pelajar yang berasa teruja dengan peluang untuk lebih memahami dunia akademik dan teknologi tinggi yang ditawarkan oleh universiti terkemuka seperti UTP. Diharapkan program sebegini dapat diteruskan untuk memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar di masa depan.
Turut hadir dalam majlis penutup tersebut Pengarah Bahagian Kemasukan, Rekod dan Pemasaran UTP, Encik Zulkarnan bin Abdul, Pengarah Yayasan Universiti Teknologi Petronas & Pengurusan Zakat, Puan Nor Adela binti Dinyati, Pegawai Kanan Jabatan Pengurusan dan Kemanusiaan UTP, Dr. Mohd Nuri Al-Amin bin Endut, Pengurus Bahagian Pemasaran & Penajaan UTP, Encik Tajul Ariffin bin Shamsuddin, Ketua Penolong Pengarah (Pendidikan Tinggi) YT, Encik Wan Mohamad Nazir bin Wan Jusoh, Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan Pendidikan) YT, Encik Yusrisyam bin Ibrahim serta pegawai-pegawai pengurusan Imtiaz.
Views: 8