KUALA TERENGGANU, 13 Januari – Yayasan Terengganu mengadakan Majlis Amanat Pengarah pada pagi ini sebagai majlis sulung pada tiap-tiap tahun yang dihadiri oleh barisan Pengurusan Kanan, Pegawai-pegawai, Pengetua Institusi Pendidikan Yayasan Terengganu, serta kakitangan Yayasan Terengganu. YBrs. Encik Ahmad Farhan bin Abdul Wahab, Pengarah Yayasan Terengganu mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pegawai serta kakitangan yang hadir.
Dalam ucapannya, beliau menekankan pentingnya menjaga integriti dan tatakelola dalam tugasan harian serta menyeru seluruh warga Yayasan Terengganu untuk memberi yang terbaik dalam pekerjaan mereka, terutamanya dalam menghadapi cabaran tahun 2025 yang semakin mencabar. Beliau juga mengingatkan supaya kejayaan yang dicapai tidak membuatkan warga Yayasan Terengganu berasa selesa dan leka.
Selain itu, beliau juga menekankan enam intipati penting untuk kemajuan Yayasan Terengganu, antaranya pembudayaan integriti, mencari solusi kreatif, mengurangkan birokrasi, meningkatkan kompetensi penjawat awam, adaptasi digitalisasi, dan kepimpinan melalui teladan. Beliau turut mengingatkan tentang pentingnya penjagaan kesihatan fizikal dan mental, serta mencadangkan pelbagai aktiviti riadah bagi memperkukuh keharmonian & semangat setiakawan di kalangan warga Yayasan Terengganu.
Majlis ditutup dengan seruan agar seluruh warga Yayasan Terengganu bekerjasama demi memastikan organisasi ini mencapai kejayaan yang lebih gemilang dan memberi impak positif kepada pembangunan Negeri Terengganu.
Views: 19