KUALA NERUS, 25 Sept – Seramai 595 orang pelajar Tingkatan 1 Sekolah-sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu hari ini telah diraikan dalam Majlis Perasmian Penutup Program Khas Asasi Ulul Albab. Majlis ini merupakan program tahunan diadakan bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada para pelajar tingkatan satu yang telah berjaya menamatkan Program Khas Asasi Ulul Albab yang dijadualkan selama 6 bulan pertama sesi persekolahan. Program Khas ini memfokuskan kepada tiga komponen QEI iaitu Quranik, Ensiklopedik, dan Ijtihadik dalam melahirkan pelajar berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.
Majlis yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah Kuala Nerus ini telah dirasmikan oleh Pengarah Yayasan Terengganu, Yang Berbahagia Dato’ Haji Mohd Azmi bin Mohamad Daham.
Dato’ Azmi berkata ketika ucapan perasmian, dengan adanya majlis sebegini ia dapat memberi dorongan dan memotivasikan para pelajar tingkatan 1 bagi menempuh kehidupan serta pembelajaran yang mendatang sepanjang berada di SMIYT.
Beliau turut berkata,”Para pelajar yang dilahirkan dari SMIYT ini diyakini dapat menjadi pemangkin dalam usaha melahirkan manusia yang cemerlang dan gemilang serta mampu mengharungi cabaran globalisasi masa kini”
Turut hadir, YBrs. Tuan Haji Megat Samsudin bin Megat Yusoff, Timbalan Pengarah (Pendidikan) Yayasan Terengganu, YBrs. Encik Mohd Nazri bin Muda, Ketua Penolong Pengarah (Pengurusan IMTIAZ) Yayasan Terengganu, YBrs. Tuan Haji Tun Salim bin Tun Ibrahim, Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu serta pegawai-pegawai dari Bahagian Pengurusan IMTIAZ Yayasan Terengganu.
Views: 46