KUALA TERENGGANU, 01 Julai – Karnival Terengganu STEM Outreach Workshop Tahun 2024 Fasa 1 telah diadakan di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu yang melibatkan penyertaan seramai 100 orang murid dari 20 buah sekolah dalam daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus adalah inisiatif pendidikan yang bertujuan untuk mempromosikan pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) di kalangan pelajar, khususnya di Terengganu. Program ini dirancang untuk melibatkan pelajar dalam aktiviti praktikal, eksperimen, dan projek yang mendorong pemikiran kritis, penyelesaian masalah, dan inovasi dalam bidang STEM.
Program ini juga adalah bertujuan untuk mendorong pelajar untuk mengeksplorasi dan mengejar minat dalam sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik di samping menyediakan sesi interaktif praktikal di mana pelajar dapat melakukan eksperimen dan terlibat dalam aktiviti berkaitan STEM.
YBhg. Dato’ Haji Mohd Azmi bin Mohamad Daham, Pengarah Yayasan Terengganu sempat meluangkan masa untuk melawat program dan aktiviti yang telah disediakan di karnival tersebut. Turut hadir YBrs. Tuan Haji Lothman bin Awang, Pengarah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu, YBrs. Tuan Haji Megat Samsudin bin Megat Yusof, Timbalan Pengarah (Pendidikan) Yayasan Terengganu, YBrs. Puan Uwarani a/p Krishnan, Ketua Penolong Setiausaha (Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta pegawai-pegawai dari Yayasan Terengganu dan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu.
Views: 171