Kerajaan Negeri melalui Yayasan Terengganu telah menghantar sebanyak 13 buah bas bagi membawa pulang mahasiswa Anak Terengganu ke kampung halaman masing-masing susulan keputusan membenarkan mahasiswa pulang beraya sempena Aidilfitri.
Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu Kebangsaan, (PERMATA KEBANGSAAN), Saudara Muhammad Helmi Bin Mohd Nor mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu yang begitu cakna dengan menyediakan kemudahan pengangkutan bas secara percuma kepada mahasiswa.
“Setakat ini, Yayasan Terengganu memperuntukkan sebanyak 13 buah bas bagi pergerakan membawa pulang mahasiswa dari Zon Utara, Zon Tengah serta Zon Selatan yang merangkumi Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan juga Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Pergerakan membawa pulang mahasiwa bermula pada 7 Mei dengan pergerakan penghantaran terakhir pada hari ini iaitu 10 Mei 2021,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Khamis lalu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan lebih 100,000 pelajar Institusi Pengajian Tinggi di seluruh negara dibenarkan pulang ke kampung sempena cuti Aidilfitri, kecuali bagi Sarawak, dan beberapa mekanisme telah ditetapkan. Tambahan pula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan di beberapa kawasan bermula 10 Mei hingga 9 Jun 2021
Views: 10