KUALA TERENGGANU, 25 Sept – Seramai 14 orang pelajar tajaan Biasiswa SPC Yayasan Terengganu dan 12 orang pelajar tajaan Biasiswa Pendidikan MAIDAM hari ini akan berangkat ke Jordan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama.
Dalam majlis berkenaan satu sesi taklimat amanat telah diberikan kepada pelajar berkenaan . Amanat berkenaan telah disampaikan oleh YBhg. Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (MAIDAM) , Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan dan Tuan Haji Jaafar bin Abdullah, Timbalan Pengarah (Pendidikan) Yayasan Terengganu.
Dr Azrin berpesan kepada pelajar-pelajar “Gunakan peluang ini untuk membalas jasa mak ayah dan kerajaan negeri. Sentiasa ungkapkan rasa kesyukuran itu dalam diri kamu kerana kamu semua terpilih untuk merasakan peluang ini. Jaga nama baik diri dan nama ibu ayah kamu diluar sana”
Dalam sesi taklimat berkenaan, pelajar-pelajar diberi penekanan untuk sentiasa menjaga sahsiah diri serta menjaga nama baik Negeri Terengganu.
Turut hadir bersama, Encik Azwandi bin Mohamad, Penolong Pengarah Kanan (Tajaan Luar Negara) Yayasan Terengganu dan YM Tengku Nur Hazleen binti Tengku Abdul Aziz, Penolong Pengarah (Tajaan) Yayasan Terengganu.
Semoga rahmat dan keberkatan Allah mengiringi anak-anak pelajar ini dalam menuntut ilmu sehingga lengkap pengajian dan pulang berbakti di tanah air.
Views: 27