Yayasan Terengganu Agih RM13.73 Juta Biasiswa Untuk Pelajar Cemerlang

KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Yayasan Terengganu melalui Program Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang mengagihkan sejumlah RM13.73 juta kepada 1,081 pelajar di negeri ini sebagai persediaan melanjutkan pelajaran ke pelbagai universiti di dalam dan luar negara.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah itu membabitkan peruntukan RM10 juta bagi peringkat persediaan dan ijazah  pertama (Dalam dan Luar Negara), RM2.5 juta bagi Biasiswa Peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah serta RM1.26 juta bagi Biasiswa Persijilan ACCA (The Association of Chartered Certified Accountants).

Katanya, kerajaan menganggap pemberian biasiswa itu satu pelaburan bijak untuk generasi akan datang dan mereka yang terpilih sewajarnya memanfaatkan pemberian itu dengan sebaiknya.

 “Kita juga berharap ia dapat menaikkan semangat anak-anak Terengganu untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada  pemberita selepas Majlis Apresiasi Penerima Skim Pelajar Terengganu 2020, di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 13 pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran di luar negara dan dalam negara hadir menerima biasiswa.  

Dr Samsuri turut memberitahu, kerajaan negeri turut menyediakan pinjaman pendidikan bagi pelajar meneruskan pengajian di Institut Pengajian Tinggi dan Program Sijil Kemahiran Malaysia yang keseluruhannnya melibatkan lebih RM20 juta.

“Pada masa sama mengagihkan Hadiah Kecemerlangan untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2019 membabitkan peruntukan RM280,400 kepada 580 pelajar cemerlang,” katanya.

Print Email

Senarai Berita